Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 23 April. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah meraikan seramai 146 pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya yang telah bersara terdiri daripada 73 lelaki dan 73 perempuan berlangsung di Dewan Bankuet JPM, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penyampaian Sijil Persaraan JPM dan Jabatan-jabatan di Bawahnya bagi Tahun 2024 ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah yang menyampaikan sijil dan plak penghargaan kepada para pesara yang diraikan.
Terdahulu, Pemangku Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali yang juga selaku Pengerusi Majlis dalam ucapan penghargaannya berkata hari ini, kita menyaksikan satu penghijrahan yang bukan sekadar perpisahan biasa tetapi sebuah peralihan yang penuh makna dan kemuliaan.
Menurut Pengiran Haji Raffizanna, persaraan bukanlah penyudah, melainkan ia adalah penghijrahan seorang penjawat awam yang telah berjaya memikul tugas yang dinilainya bukan sebagai satu mandat kerja semata-mata, malah amanah yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan dedikasi yang tidak pernah rapuh.
“Seperti mana hijrah membawa erti perpindahan menuju sesuatu yang lebih baik dan lebih bermakna, begitulah persaraan ini insyaaAllah membawa tuan-tuan dan puan-puan kepada babak kehidupan yang baru, yang telah diperoleh dengan titik peluh, pengorbanan dan khidmat bakti yang tulus ikhlas.
“Ini terserlah jelas sepanjang perkhidmatan yang telah dilalui, setiap tugas yang ditanai tidak sekadar memenuhi deskripsi kerja semata-mata. Malah lebih dari itu, ia adalah penunaian amanah kepada negara, amanah kepada rakyat dan amanah kepada Allah Subhanahu Wata'ala," jelasnya.
Pengiran Haji Raffizanna seterusnya menambah, itu juga selaras dengan tuntutan Islam bahawa tiada sesuatu yang lebih mulia daripada seorang hamba yang menunaikan amanahnya dengan jujur dan bersungguh-sungguh.
Katanya lagi, segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini adalah catatan yang tidak akan terhapus. Ia akan kekal terukir dalam sejarah perkhidmatan negara, dalam hati rakan-rakan sekerja dan yang paling utama, dalam kehidupan rakyat.
“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas segala sumbangan, pengorbanan dan khidmat bakti yang telah tuan-tuan dan puan-puan hulurkan selama ini.
“Setiap keputusan yang dibuat dengan bijaksana, setiap cabaran yang dihadapi dengan tenang, dan setiap tugas yang ditunaikan dengan penuh. amanah - semuanya tidak berlalu begitu sahaja tanpa meninggalkan kesan yang mendalam," katanya.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Masjid Ash-Shaliheen, Awang Haji Muhd. Izzat Izzuddin bin Begawan Khatib Dato Paduka Haji Emran. Kemudian diteruskan dengan tayangan video aktiviti-aktiviti selepas bersara oleh pesara-pesara JPM yang terdahulu.
Majlis ini diadakan sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan yang telah menabur bakti dengan memberikan masa, tenaga dan perkhidmatan selama menjalankan tugas dalam Perkhidmatan Awam, khususnya di JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.